Pelakon, Zarif Ghazzi, menolak dakwaan terkena penyakit ain gara-gara sering jatuh sakit setiap kali memasuki sesebuah set penggambaran drama.
Menurut Zarif, 21, walaupun situasi itu turut menimbulkan rasa keraguan dalam dirinya, dia tidak percaya perkara itu berpunca daripada gangguan penyakit ain.
“Macam sekarang, esok (hari ini), saya dah nak mulakan penggambaran drama baharu, tiba-tiba mata pula jadi merah. Saya pun tak tahu kenapa.
“Sebelum ini, semasa berada di set penggambaran di Perlis untuk drama Abang Imam, Minah Skuter, hari pertama berlakon, hidung saya berdarah. Ada juga masa lain saya demam. Tapi Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar,”katanya kepada Gempak.
Zarif berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran drama Abang Imam Minah Skuter dan sesi pickle ball bersama Viu di Lumi Tropicana, Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.
Namun, Zarif tetap menganggap masalah kesihatan yang dialaminya sebagai satu ujian serta pembakar semangat untuk terus kekal aktif dalam bidang lakonan.
“Saya anggap ini semua ujian. Allah tak akan bagi ujian kalau Dia tahu kita tak mampu. Saya anggap ini sebagai semangat untuk saya teruskan perjuangan dalam industri.