Perkembangan aplikasi WhatsApp dapat dilihat melalui proses perancangan tambahan ciri dan fungsi yang pelbagai. Sekaligus menjadi satu medium yang mudah digunakan serta mesra pengguna untuk sesiapa sahaja. Sebagai tambahan dalam menyediakan yang terbaik, WhatsApp juga sedang membangunkan ciri baharu dipanggil sebagai Avatars – Chat Info.
Secara asasnya, ia membolehkan anda menggunakan avatar sebagai alternatif gambar profil WhatsApp. Dalam erti kata lebih mudah, anda kelak boleh menggunakan mana-mana avatar yang dicipta sebagai gambar pada profil tanpa perlu menggantikan gambar yang sedia ada. Malahan kenalan hanya perlu meleret sahaja bagi membolehkan kedua-dua gambar dan avatar tadi dipaparkan dalam masa yang sama. WhatsApp turut mengesahkan bahawa ciri ini adalah mirip dengan apa yang sudah sedia ditawarkan pada Instagram sebelum ini.