Dalam bahasa Inggeris, tumbuhan ini lebih dikenali sebagai ‘Pennywort’ ataupun ‘Gotu Kola’, manakala nama saintifiknya adalah Hydrocotyle asiatica atau Centella asiatica. Ia disebut sebagai ‘Pennywort’ disebabkan oleh rupa daunnya yang nipis dan berwarna hijau-kuning yang mirip kepingan duit syiling.
Ia merupakan tumbuhan yang tumbuh asli di negara kita dan juga di beberapa negara lain seperti Sri Lanka, India, utara Australia, Indonesia, Iran, Melanesia, New Guinea dan beberapa bahagian Asia yang lain. Terdapat 3 subspesies pegaga pada masa kini iaitu Pegaga salad, Pegaga kerinting dan Pegaga biasa atau Pegaga ubi.
Terdapat variasi dalam keperluan untuk tumbuh kerana ada beberapa subspesies yang memerlukan sedikit teduhan dan ada juga yang memerlukan cahaya sepenuhnya. Malahan, terdapat juga sesetengah pegaga yang mampu tumbuh dalam keadaan tanah yang agak keras seperti di atas batu. Dalam keadaan liar, ia boleh dijumpai di kawasan-kawasan seperti tepian kolam, sekitar kawasan sawah padi dan juga kawasan berdekatan tasik.
Pegaga merupakan ulam yang cukup sinonim dalam peradaban orang melayu kerana sejarah panjang berkaitan kegunaannya untuk pelbagai perkara; sama ada sebagai makanan, dijadikan dalam bentuk minuman mahupun untuk tujuan perubatan. Ia boleh dimakan secara mentah atau dimasak terlebih dahulu.