Tecno sekali lagi mencuri perhatian dengan pengenalan Phantom Ultimate G Fold, sebuah telefon pintar konsep lipat tiga yang menampilkan rekaan dan spesifikasi menarik. Peranti ini digelar sebagai telefon tiga lipat paling nipis di dunia setakat ini, dengan paparan hampir 10-inci yang boleh dilipat masuk dalam dua bahagian untuk perlindungan lebih baik.
Phantom Ultimate G Fold menggunakan sistem lipatan ke dalam dengan dua engsel berbeza iaitu satu engsel berbentuk waterdrop dan satu lagi engsel atas bersaiz besar. Gabungan ini membentuk struktur lipatan berbentuk “G” yang membolehkan paparan utama bersaiz 9.94-inci dilipat sepenuhnya ke dalam badan peranti. Ini memastikan skrin utama terlindung apabila peranti ditutup sambil mengekalkan paparan luar yang berfungsi seperti telefon biasa.