Melakar sejarah baharu, pelakon berbakat besar Syafiq Kyle diumumkan sebagai penerima Trofi Rising Icon di Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-62. Pengiktirafan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi simbol bahawa anak seni Malaysia mampu menggegarkan pentas serantau dan mengharumkan nama negara di mata dunia.
Pengumuman berprestij ini dibuat dalam majlis sidang media APFF ke-62 di ibu kota. Walaupun tidak hadir secara fizikal, Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, tetap menyampaikan ucapan penuh rasa syukur menerusi rakaman video.