KUALA LUMPUR – Malaysia mencipta kejayaan gemilang dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 apabila qari dan qariah negara dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing malam ini.
Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan mencipta sejarah membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan kategori qari selepas meraih markah 97.01 peratus, mengatasi peserta Indonesia, Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus), serta wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.