KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persidangan cawangan UMNO yang bermula hari ini perlu dimanfaatkan sebagai medan memperkukuh perjuangan, memahami cabaran politik semasa dan menyusun langkah bagi memastikan parti itu terus relevan dalam landskap politik yang sentiasa berubah.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini masanya untuk ahli parti memperkemas gerak kerja, menyuarakan pandangan akar umbi serta memperkukuh saf dengan penuh kebijaksanaan dan kesepaduan.