Setelah sekian lama menanti akhirnya filem ikonik superhero negara, Keluang Man yang ditunggu-tunggu akan ditayangkan pada 29 Mei ini.
Malah sejak treler dikeluarkan sebelum ini juga, ramai yang meluahkan rasa tidak sabar dan memberikan sokongan padu terhadap Keluang Man.
Perkara itu nyata terbukti apabila penonton yang hadir ke Malam Gala Filem Keluang Man untuk menonton tayangan perdana di GSC, IOI Mall pada Khamis meluahkan rasa puas hati terhadap naskhah hebat itu.
Terus terang, boleh dikatakan pemilihan pelakon agak kena dengan watak dalam naskhah tersebut kerana permulaannya saja, penonton sudah ‘dihidangkan’ dengan pelbagai ragam daripada Borhan yang dilakonkan oleh Nas Muammar Zar selain lakonan hebat Shamsir (Remy Ishak) dan Ayah Mad (Rosyam Nor).
Manakala pemilihan dua lagi pelakon iaitu Shweta (Dr Malini) dan Anwaar Beg Moghal (Inspektor Sahab) juga turut mewarnai dan mencantikkan lagi naskhah Keluang Man ini.