PUTRAJAYA – Peningkatan kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa daripada RM300 kepada RM400 berkuat kuasa 1 Januari 2025 dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mahasiswa dari universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan tinggi serta kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) boleh membuat semakan kelayakan menerusi laman sesawang MOT di https://subsidiudara.mot.gov.my/) mulai tarikh tersebut.