SHAH ALAM – Kepulangan negarawan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin ke negeri abadi pada 13 November lalu bukan sahaja meninggalkan kesan di hati masyarakat, malah jasa dan amal jariah yang dilakukan secara senyap lebih-lebih lagi dalam membiayai pembangunan serta pendidikan di Aceh, Indonesia kembali menjadi bualan ramai.
Bekas wartawan terkenal, Syahril A Kadir berkata, beliau pada mulanya mahu menerbitkan dokumentari khas bagi mengenang peristiwa Tsunami yang membadai Aceh 20 tahun lalu, namun tidak menyangka penemuan pasukannya di lokasi tersebut terarah kepada satu bangunan pesantren tertera nama Allahyarham Daim.