KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada 4.6 peratus tahun ini, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan dan pelaburan domestik di samping pengembangan berterusan dalam perdagangan luar, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Bank tersebut dalam satu nota penyelidikan berkata, pertumbuhan domestik yang lebih kukuh akan membantu ekonomi Malaysia mengharungi ketidaktentuan luaran seperti ketegangan geopolitik yang berterusan, pertikaian perdagangan dan dasar perlindungan yang boleh menjejaskan prospek perdagangan antarabangsa.