KUALA LUMPUR – Sebanyak 106,000 permohonan diterima daripada belia seluruh negara untuk menyertai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas ia dipusatkan melalui Unit Pengambilan TVET (UPTVET) bermula awal bulan lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 150,000 permohonan menjelang akhir Jun ini sekali gus mencerminkan keberkesanan terhadap pendekatan baharu tersebut.