Memasak menu-menu ‘rare’ dan dulu-dulu memerlukan ketelitian dari segi bahan dan cara-cara menyediakannya. Kebanyakan resipi ini adalah turun-temurun sejak dahulu lagi. Untuk mendapatkan resipi asli dengan bahan-bahan yang tepat, saya telah menghubungi beberapa orang yang pakar dalam masakan dari Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak. Menurut kakak ipar Chef Sue yang berasal dari Kedah, generasi lama masih lagi mengekalkan menu masakan tradisonal dalam kehidupan seharian mahupun ketika mengadakan kenduri-kendara.
Gulai batang pisang misalnya, sangat sinonim dengan masyarakat kampung di Kedah. Sering dihidangkan ketika kenduri dan menjadi hidangan yang sangat-sangat dinantikan orang ramai. Biasanya batang pisang yang digunakan ialah dari pokok pisang awak namun pada zaman dahulu, ada juga mereka menggunakan batang pokok pisang hutan. Empulur bahagian dalam batang pokok yang bewarna putih dan lembut itulah yang digunakan dalam membuat gulai ini. Selepas dibersihkan empulur pisang tersebut hendaklah dicelur terlebih dahulu sebelum dimasak.