Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan Kempen Internet Selamat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor 2, Perak hari ini dengan tujuan memberikan pendedahan mengenai kepentingan keselamatan atas talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.
Sepanjang tahun 2025, disasarkan sebanyak 10,246 sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara terlibat dalam kempen ini termasuk SK Bidor 2. Kempen disertai bukan sahaja oleh para pelajar, tetapi juga guru, ibu bapa dan anggota komuniti sekolah seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).