Salah satu kelebihan yang sering diketengahkan kereta elektrik adalah kemaskini dan optimasi sistem operasi secara automatik, tanpa memerlukan pemilik kenderaan membawa kereta mereka ke pusat perkhidmatan. Sama seperti komputer mahupun telefon pintar, kereta kini boleh dikemaskini selagimana ia berhubung dengan internet. Proton e.MAS 7 turut mempunyai fungsi sebegini dan pada hari ini pihak PRO-NET telah mengumumkan sejumlah kemaskini yang membawakan pelbagai pembaharuan dan fungsi yang dinantikan pengguna.
Bagi pengguna Apple iPhone, kini anda boleh menambatkan iPhone anda bagi melancarkan fungsi Apple CarPlay, dan mengakses kesemua fungsi yang disediakan baik secara nirwayar mahupun sambungan berwayar. Fungsi ini merupakan fungsi yang penting yang kerap menjadi pertanyaan bakal pemilik kenderaan dan dengan kebolehan ini, pengguna boleh melancarkan aplikasi seperti Waze, Apple Music, Apple Maps dan pelbagai lagi. Fungsi tambatan Android Auto pula dijangka akan tersedia menjelang suku keempat tahun ini.