Apabila cakap mengenai peranti boleh pakai, pasti jam tangan pintar terlintas dalam fikiran. Yang terbaru menjadi trend adalah kaca mata pintar seperti Ray-Ban Meta. Walaupun begitu penawaran kaca mata pintar sudah bertahun berada di pasaran Malaysia seperti jenis memfokuskan kepada audio. Terbaru adalah JBL Soundgear Frames.
Anda boleh bayangkan JBL Soundgear Frames sebagai TWS yang tidak memerlukan fon telinga disumbat ke dalam telinga, sebaliknya mendengar audio dengan lebih bergaya. Kaca mata ini menggunakan JBL OpenSound Technology dengan setiap tangkai kaca mata memuatkan pemandu audio speaker segi empat amplitud jenis dinamik bersaiz 25mm x 9 mm. Dua mikrofon untuk menjawab panggilan telefon atau menggunakan pembantu maya dengan ciri membatalkan hingar turut disediakan.