PENYERTAAN Pahang sebagai pihak-pihak yang menyelaras bersama (PAC) dalam pengambilalihan sukarela tanpa syarat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terhadap baki saham FGV Holdings Bhd (FGV) mampu memperkukuh kedudukan strategik FGV.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu bukan sahaja mempercepat usaha agensi itu mencapai pemilikan 90 peratus saham seperti yang disyaratkan Bursa Malaysia malah memperlihatkan kesepakatan antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri dalam agenda pembangunan sektor perladangan negara.