BEAUFORT – Busana tradisional etnik Bisaya yang direka khas untuk memudahkan kanak-kanak menyertai pertandingan pakaian peragaan di sekolah akhirnya membuka peluang kepada seorang tukang jahit mengembangkan bakatnya dalam rekaan kontemporari.
Malah Roslinah Jusidi, 42, tidak menyangka selepas dua tahun berkecimpung dalam rekaan tersebut akhirnya berjaya menambat hati seorang juara bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyarung busana etnik Bisaya yang direka khas untuk diperaga di pentas antarabangsa melalui upacara pembukaan World Championships of Performing Arts (WCOPA) yang ke-27 di California, Amerika Syarikat pada Jun lalu.