BATIK Air bakal mencipta sejarah dengan pelancaran laluan antarabangsa pertamanya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) ke Bangkok pada 28 Julai, menandakan pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan Subang sebagai hab lapangan terbang bandar yang dinamik.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat penerbangan itu memaklumkan ia akan mengendalikan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK) di Bangkok, bersama-sama dengan permulaan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) pada tarikh yang sama, seterusnya mengukuhkan lagi kesalinghubungan domestik dari SZB.