Walau sudah 19 tahun filem box office Indonesia ‘Ada Apa Dengan Cinta’ sudah berlalu namun impaknya masih terasa hingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi lakonan heroin cantik dalam filem berkenaan, Dian Sastrowardoyo yang pesona wajahnya pernah menjadi kegilaan ramai jejaka di Malaysia. Kalau sebut nama Dian sampai ke hari ini pun masih ramai yang mengingati raut wajah menawan selebriti ini.
Dilahirkan di Jakarta pada 16 Mac 1982, Dian yang kini meniti usia 39 tahun masih bergiat aktif sebagai anak seni. Yang pasti, Dian atau nama penuhnya Dian Paramita Sastrowardoyo bukan calang-calang wanita. Dia bukan hanya meraih kejayaan sebagai pelakon bahkan turut cemerlang dalam bidang akademik. Memang patut dijadikan inspirasi!