Acer telah memperkenalkan FreeSense Ring di COMPUTEX 2025 sebagai produk pertama mereka dalam kategori cincin pintar. Peranti ini direka khusus untuk menjejak kesihatan secara berterusan, serta memberikan pengguna maklumat mendalam mengenai tahap kesihatan tanpa sebarang langganan tambahan.
Cincin ini diperbuat daripada aloi titanium ringan dengan salutan vakum bagi meningkatkan ketahanan. Ia hadir dalam dua warna, iaitu rose gold dengan kemasan matte dan hitam dengan kemasan berkilat. Beratnya hanya 2 hingga 3 gram bergantung pada saiz yang tersedia dari 7 hingga 13. Selain itu, ia mempunyai penarafan IP68 dan 5 ATM yang menjadikannya tahan air dan sesuai untuk penggunaan harian termasuk semasa berenang.