Pergilah bercuti ke mana sahaja, selalunya pasti kita akan membeli sedikit buah tangan istimewa untuk diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan sebagai tanda kita telah berkunjung ke lokasi tersebut.
Jika anda bercuti ke Port Dickson, apakah ole-ole yang terfikir untuk di bawa pulang? Jika tiada idea, ini mungkin boleh membantu. Tahukah anda bahawa di Port Dickson terdapat sebuah kampung yang menghasilkan produk kraf untuk dijadikan sebagai cenderahati untuk anda bawa pulang?
Kraf anyaman rotan dan batik ikat celup merupakan tarikan istimewa buat pelancong di Kampung Telok Pelanduk. Terletak kira-kira 50 meter dari pantai Telok Pelanduk dan jeti nelayan, kawasan kampung ini yang dikelilingi hutan kecil mampu menggamit pelancong untuk tinggal di inap desa bagi menyaksikan panorama alam.