
PENYANYI Mimi Fly bertindak menerunkan video muzik raya bertajuk Serumpun di saluran YouTube miliknya dan membuat olahan semula.
Jelas Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, dia menerima dengan hati terbuka teguran ramai mengenai video muzik tersebut termasuk daripada mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof. Madya Luqman Abdullah.
“Semenjak video muzik saya dilancarkan, saya terima banyak maklum balas daripada peminat dan pendengar muzik. Ada yang baik dan ada juga yang bimbang kalau pendekatan seni saya ditafsir berlainan serta menyimpang dari niat saya yang sebenar.
“Saya sudah mendapat teguran daripada mufti Wilayah Persekutuan dan juga nasihat lain jadi saya ambil maklum dan akur dengan kekhilafan serta sudah menurunkan video Serumpun,” ujarnya menerusi perkongsian video di Instagram.

Tambah Mimi Fly, 38, kru produksi video muzik sudah melakukan suntingan semula dan versi Serumpun yang baharu sudah dimuat naik di saluran YouTubenya pada jam 11 pagi tadi.
Ujarnya sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas melakukan kesilapan dan ambil maklum segala teguran serta nasihat.
“Sebagai anak Melayu bukanlah niat saya untuk menghina agama dan budaya kita. Sebagai anak seni saya sentiasa mahu pastikan karya saya diterima dan berkualiti dan memberi maknanya dalam.
“Saya manusia biasa dan tidak terlepas melakukan kesilapan. Terima kasih bagi teguran dan kritikan yang baik,” jelansya.
Mimi Fly berkata, lagu tersebut telah digubah sendiri olehnya dan mengambil ilham dari kepelbagaian budaya di alam Nusantara zaman berzaman
“Sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan. Teruskan mendengar Serumpun dan hayati makna Aidilfitri menerusi lagu ini,” tuturnya.
Sebelum ini, video muzik Serumpun berdepan reaksi negatif pelbagai pihak yang menyifatkan busana terdedah ala kemban digayakannya tidak sopan untuk lagu raya.
Malah, isu itu turut meraih perhatian parti politik Wanita Amanah Wilayah Persekutuan dengan mendakwa MV berkenaan bertentangan ajaran Islam serta maksud sebenar Aidilfitri.
Baca artikel asal Terima teguran ramai, Mimifly olah semula video muzik Serumpun, diterbitkan oleh Sinar Harian