Tarif AS undang risiko perang perdagangan - Khaled Nordin

MOHAMED KHALED NORDIN

KOTA TINGGI – Tindakan Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan tarif lebih tinggi terhadap pelbagai negara, termasuk Malaysia dijangka mencetuskan peperangan perdagangan dunia serta mewujudkan ketidaktentuan global.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran susulan tindakan drastik negara kuasa besar itu.

Jelas beliau, kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia dan beberapa negara lain, seperti yang diumumkan baru-baru ini, menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dan asas peraturan perdagangan global pada masa depan.

“Sebelum ini, AS yang menjadi pendukung utama perdagangan bebas, tetapi kini negara itu sendiri menarik balik sistem yang diperkenalkannya, sekali gus meletakkan dunia dalam keadaan yang tidak menentu.

“Justeru, kita menyokong langkah kerajaan untuk berunding dengan AS, namun masih belum ada kepastian apa yang akan berlaku selepas ini.

“Ia mungkin membawa kepada peperangan perdagangan dunia atau ‘trade war’, dan kita masih tidak tahu kesan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Kota Tinggi pada Isnin.

Tambah Naib Presiden UMNO itu, usaha kerajaan untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) mungkin membuahkan hasil memandangkan hubungan dua hala yang baik.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa rundingan sahaja tidak menjamin Malaysia bebas daripada cabaran yang timbul akibat tindakan AS memperkenalkan tarif import yang tinggi.

“Walaupun kita harap rundingan berjaya, itu sahaja tidak cukup untuk mengelakkan kesan daripada dasar ekonomi Amerika yang cenderung kepada perlindungan (protectionism).

“Seperti yang kita tahu, dunia maju dan makmur hasil daripada perdagangan bebas. Tetapi apabila AS mengenakan tarif yang tinggi, ia menyekat perdagangan global,” katanya.

Minggu lalu, Presiden Donald Trump dilaporkan mengumumkan AS akan memperkenalkan tarif asas 10 peratus kepada semua negara dan duti lebih tinggi membabitkan beberapa negara, termasuk Malaysia.

Tarif timbal balik AS yang menyasarkan lebih 180 negara itu bagaimanapun tidak tertakluk ke atas Kanada dan Mexico, yang sebelum ini sudah pun dikenakan penalti oleh Trump bagi menekan mereka supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap migrasi serta penyeludupan fentanyl haram merentasi sempadan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24 peratus termasuk kadar asas, manakala negara serantau seperti Kemboja pada 49 peratus, Vietnam (46 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus) dan Singapura (10 peratus).

Baca artikel asal Tarif AS undang risiko perang perdagangan - Khaled Nordin, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik