
SHAH ALAM – Syarikat subsidiari yang mencatatkan keuntungan seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 berupaya meningkatkan lagi prestasi untuk tahun seterusnya mengambil kira perkembangan positif ditunjukkan.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, bagaimanapun syarikat terlibat perlu berhati-hati dalam membuat strategi pelaburan dengan meneliti sebaiknya dasar baharu dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Secara asasnya syarikat yang mencatatkan keuntungan ini mampu untuk mengekalkan dan meningkatkan prestasi mereka tetapi dalam masa sama kita tidak boleh nafikan, kedudukannya juga mungkin boleh merosot bergantung kepada agenda yang dikemukakan oleh Trump atau kerajaan baharu AS itu nanti.
“Walaupun jumlah keuntungan yang dicatatkan itu tidak banyak selepas mengambil kira kerugian tetapi kita menjangkakan syarikat-syarikat ini (yang catat keuntungan) boleh meningkatkan prestasi mereka jika strategi dirangka menepati pasaran semasa dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai LKAN 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Sementara itu, ditanya mengenai cabang pelaburan baharu yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh syarikat terlibat untuk diterokai dalam tempoh satu atau dua tahun, Barjoyai turut mengemukakan beberapa syor.
Katanya, antara pelaburan yang boleh diterokai ialah sektor sekuriti makanan, ekonomi digital dan robotik.
Beliau menambah, sudah tiba masanya untuk syarikat subsidiari ini mengimbangi aktiviti pelaburan bersifat memberi keuntungan jangka pertengahan dan panjang berbanding aspek jangka pendek yang dibuat ketika ini.
Baca artikel asal Syarikat catat keuntungan mampu tingkat lagi prestasi - Pakar, diterbitkan oleh Sinar Harian