
SINGAPURA – Singapura membubarkan Parlimennya pada Selasa, membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 negara itu yang dijadual berlangsung pada 3 Mei.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 23 April.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa Presiden Tharman Shanmugaratnam, atas nasihat Perdana Menteri Lawrence Wong, telah membubarkan Parlimen pada Selasa (15 April).
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pemilihan 97 Ahli Parlimen (AP), meningkat berbanding 93 AP sebelum ini, selaras dengan cadangan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya.
Lebih 2.75 juta rakyat Singapura layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Wong berkata keputusan mengadakan pilihan raya umum itu dibuat bagi membolehkan rakyat Singapura menentukan pasukan yang akan menerajui negara pada saat genting ketika dunia sedang mengalami perubahan besar.
“Keadaan dunia semakin tidak menentu, tidak stabil dan bergolak. Keadaan global yang telah membolehkan kejayaan Singapura selama beberapa dekad mungkin tidak lagi kekal.
“Itulah sebabnya saya mengadakan Pilihan Raya Umum ini. Pada detik kritikal ini, rakyat Singapura wajar menentukan pasukan yang akan memimpin negara dan merancang hala tuju kita bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ini merupakan pilihan raya pertama buat Wong sebagai Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada Mei tahun lalu, menggantikan bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Beliau kemudian dilantik sebagai pemimpin parti pada Disember.
Minggu lalu, Wong mengumumkan beliau akan mempertahankan kerusi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee bersama barisan penyandang sedia ada – Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, Datuk Bandar Daerah Barat Laut Alex Yam, dan Hany Soh di GRC empat anggota itu. – Bernama
Baca artikel asal Singapura adakan pilihan raya umum pada 3 Mei, diterbitkan oleh Sinar Harian