
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan saringan awal untuk mengenal pasti kecenderungan membuli dalam kalangan pelajar bukan bertujuan menghukum atau menuduh mana-mana pihak, sebaliknya mengenal pasti risiko tingkah laku yang boleh dicegah lebih awal.
Pakar Kriminologi dan Psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat menegaskan, saringan yang dilakukan mestilah melalui kaedah yang diperakui dan sah secara saintifik.
Menurutnya, cabaran utama ialah tanggapan masyarakat terhadap proses saringan yang sering disalah erti sebagai usaha untuk melabel, menstigma atau memulaukan pelajar yang diuji.
“Bukan sahaja ibu bapa, malah pihak sekolah dan komuniti sendiri kadangkala melihat saringan ini sebagai satu bentuk penghukuman, sedangkan persepsi sebegitu juga merupakan satu bentuk buli,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bentuk intervensi awal yang boleh dilakukan oleh sekolah dan ibu bapa untuk mengesan kecenderungan membuli sebelum ia menjadi serius.
Katanya, cabaran kedua yang sering timbul ialah sikap menafikan keputusan saringan oleh ibu bapa sendiri.
“Kebanyakan ibu bapa cenderung menolak keputusan tersebut dan memilih untuk menyalahkan individu lain atau keadaan, berbanding mengakui risiko yang ada dalam diri anak mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkara itu sepatutnya dilihat sebagai ruang dan peluang untuk membantu remaja serta ahli keluarga mereka secara menyeluruh.
“Dalam banyak kes, corak dan tingkah laku membuli sebenarnya boleh dikesan daripada dinamika perhubungan dalam keluarga sendiri,” katanya.
Tambah beliau, keputusan saringan tersebut seharusnya menjadi asas kepada tindakan intervensi yang berstruktur dan berterusan, bukan sekadar langkah permulaan.
Menurutnya, pelaksanaan intervensi perlu dikendalikan oleh pakar yang bertauliah dan berlesen, dengan penglibatan berterusan daripada semua pihak terlibat.
“Ada banyak kes di mana ibu bapa, penjaga atau pelajar itu sendiri menarik diri selepas satu sesi atau separuh jalan dengan pelbagai alasan,” katanya.
Beliau menegaskan, tanpa komitmen dan kesediaan untuk berubah, sukar untuk mengubah elemen tingkah laku individu yang mengikut model ABCDEF.
“Model itu merangkumi enam aspek utama iaitu pengaruh emosi, tingkah laku dan kepercayaan, cara berfikir, keinginan, emosi serta fantasi atau bayangan mental yang menjadi rujukan untuk memahami profil psikologi pembuli,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak agar lebih terbuka dan bersedia untuk bertindak secara proaktif dalam membendung gejala buli di peringkat akar umbi.
Ketiadaan akta khusus bendung kes buli
Sementara itu, Dr Geshina Ayu mengakui Undang-undang sedia ada dilihat masih belum mencukupi untuk menangani kes buli dalam kalangan pelajar secara menyeluruh, khususnya dalam konteks pendidikan.
Jelasnya, meskipun pelbagai akta dan garis panduan telah diwujudkan, namun masih wujud kelompongan dalam sistem perundangan berkaitan kes buli.
“Dalam tempoh lebih sedekad lalu, barulah penyelidik, pekerja sosial dan pihak yang berurusan secara langsung dengan mangsa dan pelaku buli diberi ruang untuk menyumbang dalam proses merangka atau meminda undang-undang sedia ada.
“Realitinya, masih tiada satu akta khusus yang mentakrifkan dan menghukum jenayah buli sama ada di alam nyata mahupun secara siber,” katanya
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketiadaan akta khusus itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bergantung kepada beberapa peruntukan undang-undang lain berdasarkan fakta kes dan bidang kuasa yang terlibat.
“Contohnya, Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang diwartakan pada 26 Jun 2024, mempunyai beberapa seksyen berkaitan buli secara dalam talian, namun ia hanya tertumpu kepada kes-kes di alam siber sahaja,” katanya.
Jelas beliau, pemilihan undang-undang yang bersesuaian bergantung kepada definisi buli, konteks insiden, latar belakang pelaku dan mangsa, serta tahap kemudaratan yang berlaku.
Antara peruntukan sedia ada yang digunakan termasuk Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Sementara itu, Subseksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula menetapkan denda maksimum RM50,000, hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan buli dalam talian.
Selain itu, Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilancarkan pada November 2023 juga digunakan sebagai rujukan utama di sekolah.
Menurut garis panduan tersebut, murid yang terbukti melakukan kesalahan buli boleh dikenakan tindakan disiplin mengikut peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, jika buli melibatkan ancaman kecederaan fizikal, Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh diguna pakai.
“Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, dan jika ugutan melibatkan ancaman bunuh atau kerosakan besar, hukuman boleh mencecah penjara sehingga tujuh tahun,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan penambahbaikan perlu dilakukan di peringkat dasar dan perundangan supaya setiap bentuk buli dapat ditangani dengan lebih efektif dan mangsa mendapat perlindungan sewajarnya.
Baca artikel asal Saringan awal mampu cegah kes buli babitkan pelajar, diterbitkan oleh Sinar Harian