Remaja perlu ilmu seksualiti holistik,bukan sekadar amaran – YADIM

Kerajaan negeri dan Persekutuan digesa memperkasa strategi pencegahan serta preskriptif yang efektif bagi memastikan kesejahteraan seksual dan reproduktif remaja diberi keutamaan – Gambar hiasan, gambar kecil: Harlina Halizah

SHAH ALAM – Kerajaan negeri dan Persekutuan digesa memperkasa strategi pencegahan serta preskriptif yang efektif bagi memastikan kesejahteraan seksual dan reproduktif remaja diberi keutamaan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, menegaskan bahawa strategi tersebut harus merangkumi peruntukan belanjawan dan sumber manusia yang mencukupi bagi aktiviti pendidikan, advokasi serta peningkatan kesedaran.

Menurutnya, penekanan khas juga perlu diberikan kepada golongan remaja serta keluarga yang berisiko tinggi dan memerlukan intervensi khusus serta berterusan.

“Semua pihak perlu menyusun usaha yang lebih serius dan bersepadu untuk membantu remaja Generasi Z (Gen Z) dan Alfa membuat keputusan yang bijak, tepat dan selamat berkaitan aspek seksualiti mereka.

“Remaja hari ini perlu diperkasa dengan pengetahuan asas serta kemahiran berfikir secara kritis dan holistik, terutama bagi menghadapi cabaran teknologi digital yang mendedahkan mereka awal kepada isu seksualiti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, golongan ibu bapa turut perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk berkomunikasi secara berkesan dengan anak remaja, khususnya dalam memberikan panduan pendidikan seksualiti secara menyeluruh.

Katanya, pendekatan ini harus disemai bersama nilai, budaya, agama serta adat resam yang menjadi identiti masyarakat Malaysia.

“YADIM memberi sokongan penuh kepada semua pihak yang prihatin dan cakna terhadap gejala seksual dalam kalangan remaja.

“Kami juga berazam untuk terus menyumbang bakti di lapangan bagi memastikan pembangunan generasi muda yang soleh dan musleh,” ujarnya.

Baca artikel asal Remaja perlu ilmu seksualiti holistik,bukan sekadar amaran – YADIM, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik