Penganjuran pesta Songkran di Batu Feringghi tidak ikut syarat

Mohamad

GEORGE TOWN – Penganjuran sambutan Songkran di Batu Feringghi baru-baru ini tidak mengikut syarat yang ditetapkan walaupun penganjur memiliki lesen hiburan yang sah.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, sambutan itu berlangsung di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Tindakan susulan sedang diambil terhadap penganjur terbabit.

“MBPP akan mengambil tindakan, termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada penganjur kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, polis mengesahkan pihak penganjur sambutan perayaan Songkran yang berlangsung dalam suasana tidak bermoral di kawasan pantai awam di Batu Feringghi pada Ahad lalu tidak mempunyai sebarang permit.

Polis berkata, tiada sebarang permohonan lesen hiburan awam sementara yang dimohon kepada MBPP.

Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial memaparkan beberapa wanita menari dalam keadaan berpakaian mencolok mata di atas sebuah premis ketika sambutan pesta muzik Songkran baru-baru ini.

Dalam rakaman video berdurasi 37 saat itu, ia memaparkan beberapa wanita menari mencolok mata di atas bangunan premis berkenaan.

Lebih mengecewakan, premis berkenaan hanya terletak kira-kira 50 meter dari sebuah masjid.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, beliau berpandangan selari dengan kenyataan Mufti Pulau Pinang yang dikeluarkan pada 10 April lalu yang menegaskan bahawa umat Islam adalah dilarang untuk mengambil bahagian dalam sambutan Songkran, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Baca artikel asal Penganjuran pesta Songkran di Batu Feringghi tidak ikut syarat, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik