MBAS bakal tambah CCTV di kawasan 'hotspot'

MBAS berhasrat untuk menambah sistem Pemantauan CCTV di bawah inisiatif Bandar Selamat. Gambar kecil: Abdul Gafar

ALOR SETAR – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berhasrat untuk menambah sistem Pemantauan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di bawah inisiatif Bandar Selamat.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, pemasangan itu melibatkan beberapa lokasi tumpuan orang ramai, kawasan rekreasi, dan kawasan blackspot.

Katanya, tujuan utama pemasangan CCTV di lokasi strategik adalah untuk memantau lalu lintas, mencegah jenayah, dan membantu agensi penguatkuasaan melaksanakan tugas dengan lebih cekap.

“MBAS komited untuk meneruskan projek Pemantauan Kamera Litar CCTV di bawah program Bandar Selamat hasil daripada usaha sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dengan penambahan ini, kami berharap dapat menjadikan bandar Alor Setar sebagai contoh bandar yang selamat dan mesra penduduk,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, langkah itu juga dijangka dapat memperkukuh sistem pemantauan dan meningkatkan kecekapan operasi keselamatan bandar.

“Selain itu, MBAS juga telah melaburkan sejumlah peruntukan untuk menaik taraf dan menyelenggara CCTV sedia ada di 14 lokasi hotspot,”ujarnya.

Menurutnya, dalam usaha mempertingkatkan kawalan, MBAS juga sedang dalam perancangan untuk menaik taraf bilik kawalan sedia ada kepada sebuah Command Centre yang lebih luas.

“Dengan inisiatif ini, diharapkan bilangan CCTV yang dipantau serentak akan bertambah, membolehkan tindakan penguatkuasaan dijalankan dengan lebih efektif,” jelasnya.

Abdul Gafar berkata, sehingga kini, MBAS mengoperasikan 28 unit kamera paparan luar, 20 unit di pasar awam, serta 15 unit di premis MBAS.

“Pada awal tahun ini KPKT juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi projek Bandar Selamat di kawasan blackspot Simpang Kuala, yang salah satu komponennya adalah pemasangan CCTV,” jelasnya.

Baca artikel asal MBAS bakal tambah CCTV di kawasan 'hotspot', diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik