Kesihatan mental isu serius di Malaysia

Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani boleh membawa kesan buruk kepada individu dan negara. Gambar hiasan

PADA 2 Mac lalu, negara dikejutkan dengan satu kejadian amuk seorang lelaki sakit mental yang telah memukul dan membakar ibunya di sebuah kampung di Alor Setar, Kedah.

Lelaki terbabit mengamuk selepas ibunya menutup suis televisyen dan menyuruhnya makan ubat penenang.

Ini bukan kejadian amuk pertama melibatkan pesakit mental yang menyebabkan kematian ahli keluarga.

Isu kesihatan mental ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan masyarakat.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, sekitar 2.3 peratus rakyat Malaysia, atau lebih 500,000 orang dewasa, mengalami kemurungan.

Lebih membimbangkan, 424,000 kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 15 tahun juga menghadapi masalah kesihatan mental.

Angka ini dijangka meningkat selepas Covid-19, yang menyebabkan ramai individu berdepan tekanan kewangan, kehilangan pekerjaan, serta perubahan gaya hidup yang mendadak.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental di Malaysia.

Antaranya ialah tekanan kerja yang tinggi, beban kewangan, masalah hubungan, trauma, serta stigma masyarakat terhadap penyakit mental.

Bagi golongan muda, tekanan akademik dan harapan tinggi daripada ibu bapa juga menjadi punca utama mereka mengalami tekanan emosi.

Kajian menunjukkan pelajar yang menghadapi tekanan untuk mencapai kecemerlangan akademik lebih berisiko mengalami gangguan kebimbangan dan kemurungan.

Di tempat kerja, budaya kerja toksik, beban kerja berlebihan, dan tekanan untuk mencapai sasaran syarikat turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bahawa 29 peratus pekerja Malaysia mengalami tekanan yang tinggi akibat pekerjaan mereka.

Selain itu, stigma dan kekurangan kesedaran tentang kesihatan mental menyebabkan ramai individu yang mengalami gangguan mental enggan mendapatkan rawatan. Mereka bimbang akan dipandang serong atau dianggap sebagai lemah oleh masyarakat.

Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani boleh membawa kesan buruk kepada individu dan negara.

Dari segi ekonomi, ia menyebabkan kehilangan produktiviti kerana pekerja yang mengalami tekanan mental cenderung mengambil cuti sakit lebih kerap atau mengalami kesukaran untuk bekerja dengan efisien.

Kajian oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) mendapati bahawa tekanan mental dan kemurungan menyumbang kepada peningkatan kadar ketidakhadiran pekerja di tempat kerja, yang memberi impak kepada produktiviti negara.

Dari segi sosial, masalah kesihatan mental boleh menyebabkan peningkatan kes jenayah, keganasan rumah tangga, serta penyalahgunaan dadah dan alkohol sebagai mekanisme mengatasi tekanan.

Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu ini. Antaranya ialah penubuhan Talian Bantuan Sokongan Psikososial oleh KKM dan agensi berkaitan, yang menyediakan khidmat kaunseling kepada individu yang mengalami tekanan mental.

Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Rangka Tindakan Kesihatan Mental Negara 2022-2025, yang menumpukan kepada peningkatan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, memperkasakan kesedaran masyarakat, dan menangani stigma berkaitan penyakit mental.

Pada masa yang sama, syarikat juga digalakkan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih mesra kesihatan mental dengan menawarkan program kesejahteraan pekerja, sokongan psikologi, dan waktu kerja yang lebih fleksibel.

Dalam komuniti, NGO seperti Befrienders Kuala Lumpur memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan emosi kepada individu yang mengalami kemurungan atau tekanan.

Organisasi ini menyediakan talian bantuan yang beroperasi 24 jam sehari, di mana individu boleh mendapatkan sokongan tanpa perlu mendedahkan identiti mereka.

Kesihatan mental adalah isu yang semakin serius di Malaysia dan memerlukan perhatian semua pihak. Dengan kesedaran yang lebih tinggi, pengurangan stigma, serta penyediaan perkhidmatan sokongan yang mencukupi, diharapkan lebih ramai individu yang mengalami masalah ini dapat segera dibantu.

Masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam memberi sokongan kepada individu yang mengalami gangguan mental, kerana kesihatan mental yang baik adalah kunci kepada kesejahteraan dan kemajuan negara.

*Roshila Murni Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Kedah

Baca artikel asal Kesihatan mental isu serius di Malaysia, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik