Kapsul masa, air mata dan sebuah harapan

Dr Mahathir membuka kapsul masa yang ditanamnya kira-kira tiga dekad lalu di Menara Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB

BAYANGKAN, tanam sesuatu di dalam tanah, bukan sebab nak buat pokok, tapi sebab nak simpan ‘mimpi’.

28 tahun kemudian, gali balik dan yang keluar bukan harta karun, tapi kenangan serta harapan untuk masa depan negara.

Itulah yang boleh disimpulkan pada Ahad lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri membuka kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanamnya pada 1 Oktober 1996.

Lokasinya di kaki Menara Kuala Lumpur, simbol kemajuan zaman itu.

Merak Jalanan pun rasa sebak sama. Kapsul masa tu bukan sekadar barang lama, tapi simpan rasa dan cita-cita.

Di dalamnya ada setem Menara KL, duit kertas RM2 yang kini dianggap rare, kad pengenalan lama dan keratan akhbar bergambar Menara KL yang waktu tu masih ‘muda remaja’, baru nak mencakar langit.

Paling menyentuh hati, Tun sebut pasal sajak yang beliau tulis sendiri untuk ulang tahun ke-50 UMNO. Sajak yang mengajak anak Malaysia terus berjuang bangunkan negara. Bukan untuk kemegahan diri, tapi demi tanah tumpah darah kita.

Tun kata beliau sebak. Mungkin bukan semua impian Wawasan 2020 jadi nyata, tapi benih harapan masih hidup. Masih ada yang percaya, masih ada yang berusaha.

Merak Jalanan terfikir, kapsul masa ini macam surat cinta kepada masa depan. Waktu kita tanam, kita cuma ada harapan. Waktu kita buka, kita ukur sejauh mana kita dah melangkah.

Dan apabila kita tengok ada yang tak jadi seperti dirancang, bukan bermakna kita gagal, mungkin jalan kita berliku.

Apa pun, satu yang pasti – kita tanam bukan untuk kita, tapi untuk anak cucu nanti. Supaya bila dibuka, mereka boleh senyum dan kata, “Mereka dulu memang hebat.”

Baca artikel asal Kapsul masa, air mata dan sebuah harapan, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik