Ilustrasi Jalur Gemilang: Sin Chew Daily akan ambil tindakan disiplin terhadap staf

Laporan Sinar Harian berkaitan Ilustrasi Jalur Gemilang.

SHAH ALAM – Pengurusan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily telah menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar berkenaan pada Selasa.

Akhbar berkenaan memaklumkan kakitangan yang bertanggungjawab atas kesilapan tersebut akan dikenakan tindakan disiplin.

“Bahagian editorial Sin Chew Daily juga telah memperketatkan prosedur semakan khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan.

“Kami berikrar untuk lebih berhati-hati dan sensitif dalam menangani perkara yang boleh menjejaskan maruah negara dan hubungan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, pengurusan akhbar berkenaan menerima teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan kesilapan berkenaan.

Sebelum ini, Baginda bertitah, pengurusan dan jabatan pengarang akhbar perlu lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Seri Paduka Baginda bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara.

Baca artikel asal Ilustrasi Jalur Gemilang: Sin Chew Daily akan ambil tindakan disiplin terhadap staf, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik