
KUALA LUMPUR – Hanya 10 peratus bekas guru yang mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) dari 1962 hingga 1972 telah tampil membuat tuntutan bagi wang tidak dituntut di Jabatan Akauntan Negara sehingga April 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Zahiruddin Mohammad Hanif berkata, peratusan itu melibatkan 185 bekas guru atau waris yang tampil membuat tuntutan di Jabatan Akauntan Negara.
Beliau berkata, perkembangan itu menjadikan wang tidak dituntut oleh bekas guru di bawah Skim Perkhidmatan Guru-Guru Dipersatukan (UTS) menunjukkan penurunan kecil kepada RM11.7 juta setakat ini, berbanding RM13.5 juta pada 2018.
“Sejak pengumuman pada 2018, tidak ramai waris yang datang menuntut. Daripada 1,910 pencarum, sekarang tinggal 1,725 pencarum yang belum membuat tuntutan. Jadi tak sampai 200 orang dah datang tuntut, kira-kira 10 peratus sahaja.
“Pencarum yang terlibat adalah Guru UTS yang berkhidmat dan telah mencarum dari tahun 1962 hingga tahun 1972 sahaja, dan guru-guru ini tidak menerima pencen daripada kerajaan,” katanya kepada Bernama.
Zahiruddin turut menafikan dakwaan wang tidak dituntut KWSG bagi bekas guru UTS kini mencecah RM135 juta sebagaimana yang ditularkan baru-baru ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, wang caruman yang telah dimasukkan dalam kategori wang tidak dituntut akan kekal berada di Jabatan Akauntan Negara, namun pencarum atau waris boleh datang untuk membuat tuntutan pada bila-bila masa.
Mengenai punca kelewatan waris membuat tuntutan, Zahiruddin berkata, ramai antara mereka tidak tahu bahawa ahli keluarga mereka adalah pencarum KWSG, selain kekurangan maklumat terkini pencarum untuk dihubungi oleh YGTHO.
“Bukan mereka lambat membuat tuntutan, tapi sebab ramai waris tak tahu. Alamat yang digunakan pencarum juga sudah lama. Jadi, bila kita hantar surat pemberitahuan, surat itu akan dikembalikan semula. Kita tak tahu alamat terbaru dan di mana nak cari pencarum pun, kita tak ada maklumat terkini,” katanya.
Zahiruddin berkata, bagi proses tuntutan, pencarum atau waris boleh datang ke Jabatan Akauntan Negara bagi pengesahan oleh pihak jabatan dengan YGTHO dan jika individu berkenaan disahkan pencarum, maka wang tersebut akan dikeluarkan.
Beliau berkata, pencarum atau waris boleh membuat semakan melalui pautan https://egumis.anm.gov.my/ atau hubungi YGTHO di talian 03-8890 2427.
“Semakan nama pencarum boleh dilakukan melalui pautan yang kita telah muat naik dalam akaun YGTHO. Itu satu-satunya cara untuk membuat semakan nama pencarum sebab kalau letak nama pencarum dalam kenyataan akhbar, kita bimbang akan ada orang mengambil kesempatan,” katanya.
Pada 2018, Zahiruddin memaklumkan jumlah wang caruman dalam KWSG yang tidak dituntut adalah RM13.58 juta dan ia melibatkan 1,910 pencarum yang berkhidmat sebagai guru sejak 1950. – Bernama
Baca artikel asal Hanya 10 peratus guru tuntut caruman KWSG berjumlah RM11.7 juta, diterbitkan oleh Sinar Harian