Geli dengan watak Rosyam Nor tapi tutup mata dengan realiti

Rosyam Nor

KUAT betul penangan watak Rosyam Nor dalam drama Keluarga Itu. Sampai seorang staf wanita di tempat kerja Merak Jalanan kata “Dia punya gatal memang tak boleh bawa bincang. Anak sendiri pun dia makan. Menyampah!”

“Ha ha ha… mimik ketap bibir dengan renungan tajam yang dia buat tu memang trademark! Sekali dia buat, terus cair ustazah,” sampuk seorang lagi.

Bagi Merak Jalanan, Rosyam Nor ni memang ada aura. Orang biasa buat mungkin nampak pelik, tapi bila Rosyam Nor buat, lain macam efek dia.

Kalau bawa watak, memang tak pernah main-main sama ada jadi hero, samseng, orang miskin atau sebagainya.

Memang penangan watak Iman dalam Keluarga Itu kuat betul sampai ada yang nak boikot Rosyam Mart! Watak dalam drama pun boleh buat orang terbawa-bawa ke dunia nyata.

Drama sekadar lakonan, bukan betul-betul perangai Rosyam Nor macam tu. Kalau sampai nak boikot bisnes dia sebab watak dalam drama, macam tak masuk akal.

Bagi Merak Jalanan, Keluarga Itu bukan sekadar drama, tapi cerminan realiti dalam masyarakat. Isu isteri tidak melayan suami, haruan makan anak, pergaulan bebas dan sebagainya – semua itu memang berlaku dalam dunia sebenar. Sebab itu ramai yang emosi bila tengok.

Jangan marah atau geli dengan watak Rosyam Nor dalam drama, tapi tutup mata dengan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat. Isu haruan makan anak lagi jijik dan menyedihkan sebab ia berlaku dalam dunia nyata, bukan sekadar skrip drama.

Masalahnya, benda macam ini kadang-kadang disorok sebab malu, takut atau tak ada tempat mengadu. Sepatutnya kita lebih lantang menentang perkara ini, bukan sekadar bising sebab drama semata.

Drama Keluarga Itu pun bagus sebab buat orang bincang isu-isu berat macam ini. Harapnya selepas ini lebih ramai yang sedar dan berani bertindak. Ramai Iman dalam masyarakat kita sebenarnya!

Baca artikel asal Geli dengan watak Rosyam Nor tapi tutup mata dengan realiti, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik