'Galok Raya' tular di TikTok

ALUNAN lagu raya oleh kumpulan trio indie, The Impatient Sisters, membawa pendengar seakan kembali ke era muzik retro, serta mengimbau kenangan lagu klasik seperti Selamat Hari Raya nyanyian Puan Sri Saloma sekitar 1950-an.

ALUNAN lagu raya oleh kumpulan trio indie, The Impatient Sisters, membawa pendengar seakan kembali ke era muzik retro, serta mengimbau kenangan lagu klasik seperti Selamat Hari Raya nyanyian Puan Sri Saloma sekitar 1950-an.

Dilancarkan di Youtube pada 19 Mac lalu, lagu berjudul Galok Raya dinyanyikan tiga beradik Soraya Taib, 39, Nazeera Taib, 35 dan Irena Taib, 33, ini mula meraih perhatian ramai dan tular di media sosial sejak awal Syawal.

Menariknya, bait lirik “Di petang hari raya, Di mana jejaka saya? Saya comel lote tunggu di tangga.” berdurasi sekitar 15 saat, menjadi pilihan ramai sebagai muzik latar video dan gambar OOTD (Outfit of the Day) atau pakaian raya digayakan di Tik Tok secara tidak langsung melonjakkan populariti lagu tersebut dan membuatkan netizen ‘tercari-cari’ versi penuhnya.

Menurut Soraya, lagu raya pertama mereka itu mula ditulis pada Disember tahun lalu dan bertujuan untuk menggambarkan kemeriahan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri yang menjadi platform keluarga dan sanak saudara berkumpul.

“Kami ingin mencipta sesuatu yang berbeza dengan menggunakan swing jazz, yang pada kami mempunyai elemen nostalgia yang kuat. ia mengingatkan kita kepada muzik raya zaman dahulu yang penuh dengan keceriaan dan semangat, galok bermaksud terlalu suka dalam slanga pantai timur.

“Muzik dalam Galok Raya sangat dipengaruhi oleh lagu-lagu raya klasik yang sering menggabungkan big band sound. Kami ingin membawa kembali elemen-elemen seperti instrumen horns dan strings, yang menjadi identiti muzik raya zaman dulu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengakui sukar untuk mempromosikan lagu tersebut yang menjadi cabaran setiap artis indie, trio itu bersyukur apabila mendapat kerjasama dengan penerbit muzik dari Indonesia Ari Renaldi yang juga bertindak sebagai komposer bersama.

“Pada awalnya, kami cuba untuk mengedarkan lagu ini sendiri melalui platform streaming, namun ia agak sukar. Bagaimanapun, setelah bekerjasama dengan Ari Renaldi, beliau mencadangkan untuk menghasilkan versi bahasa Indonesia, Gempita Hari Raya, dan bekerja dengan label yang dapat mengedarkan lagu tersebut.

“Kami pun bertanya sama ada mereka boleh mengedarkan Galak Raya juga, dan akhirnya kami release dalam bentuk double single dengan dua versi,” katanya yang terharu dan menghargai maklum balas pendengar yang menyukai selain memilih karya tersebut sebagai lagu latar untuk video bersama rakan dan keluarga.

Video muzik lagu tersebut kini mencapai lebih 25,000 tontonan di Youtube, satu juta tontonan di Tik Tok dan mula menakluki Instagram sebagai lagu latar video dan gambar sambutan lebaran.

Banyak pujian dan komen positif ditinggalkan di ruangan komen antaranya selebriti Douglas Lim yang menulis “Oh wow. Lagu ni grab tangan I dan heret I masuk Lorong Nostalgia.” – Bernama

Baca artikel asal 'Galok Raya' tular di TikTok, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik