Bank Rakyat perluas inisiatif, perkasa perbankan inklusif

Nor Haimee (tiga dari kiri) bergambar bersama pengurusan tertinggi Bank rakyat dan pemenang utama sebuah kereta elektrik BYD Atto 3, Reeta (lima dari kanan) semasa Majlis Hulurkan Salam di Menara Kembar Bank Rakyat pada Rabu.

BANK Rakyat terus menyokong komuniti dengan pelbagai inisiatif bermakna sempena Ramadan ini termasuk pembiayaan, kempen promosi dan inovasi produk bagi meningkatkan kemudahan perbankan inklusif.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Haimee Zakaria berkata, usaha itu adalah tanda penghargaan kepada pelanggan yang setia menyokong Bank Rakyat sepanjang 70 tahun penubuhannya.

Menurutnya, pihaknya turut menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi memenuhi keperluan dan kehendak kewangan pelanggan.

“Bank Rakyat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberi kembali kepada masyarakat dan menerusi inisiatif ini bukan sahaja menghargai pelanggan, malah membawa sinar keceriaan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan dan Syawal ini,” katanya pada Majlis Hulurkan Salam di Menara Kembar Bank Rakyat pada Rabu.

Pada majlis itu, Bank Rakyat memperkenalkan produk baharu Touch Card, inovasi terkini menerusi Kad Debit-i dan Kad Kredit-i yang patuh syariah.

Kad itu direka khas bagi memudahkan urusan transaksi golongan kurang upaya penglihatan dengan lebih selamat.

Menurut Nor Haimee, Bank Rakyat menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bagi melaksanakan inisiatif terbabit.

Beliau memberitahu, seramai 30 penerima pertama Touch Card merupakan ahli PERTIS menerima insentif RM200 setiap seorang menerusi Kad Debit-i Bank Rakyat yang bakal tersedia pada April depan.

Nor Haimee (tiga dari kiri) bergambar bersama pengurusan tertinggi Bank rakyat dan pemenang utama sebuah kereta elektrik BYD Atto 3, Reeta (lima dari kanan) semasa Majlis Hulurkan Salam di Menara Kembar Bank Rakyat pada Rabu.

Nor Haimee menjelaskan, dalam usaha memperkasakan koperasi, Bank Rakyat juga bekerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi memberikan bimbingan operasi dan tadbir urus kepada koperasi di seluruh negara, selain menawarkan latihan pengurusan kewangan serta pembiayaan kepada koperasi layak.

Selain itu, katanya, Bank Rakyat turut menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) dengan menawarkan pembiayaan bernilai RM250 juta kepada lebih 116,000 ahli koperasi itu.

Sementara itu, Nor Haimee memaklumkan, program BRKOPLestari-i turut dilancarkan semula bagi memberi nafas baharu kepada koperasi mikro, kecil dan sederhana.

“Pembiayaan ditawarkan kini mencecah sehingga RM500,000 dengan jaminan lebih fleksibel serta pelbagai latihan komprehensif,” ujar beliau.

Bagi menghargai pelanggan setia, jelas beliau, Bank Rakyat menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.1 juta kepada 388 pemenang menerusi pelbagai kempen promosi.

Dalam Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Fasa Kedua, yang berlangsung dari 1 Disember 2024 hingga 28 Februari lalu, seramai 73 pemenang membawa pulang hadiah keseluruhan RM400,000.

Seorang guru, L Reeta, muncul pemenang utama dengan hadiah sebuah kereta elektrik BYD Atto 3, manakala Cecelia Yun Anak Mandi dari Sarawak membawa pulang motosikal BMW CE 04, manakala Mohd Norhisyam Mustafa dari Sabah pula memenangi pakej umrah atau percutian bernilai RM20,000.

“Dalam Kempen Emas 2 Kilo, seramai 315 pemenang menerima hadiah keseluruhan berupa dua kilogram emas pada program yang berlangsung dari 7 September hingga 31 Disember tahun lalu,” tambahnya.

Baca artikel asal Bank Rakyat perluas inisiatif, perkasa perbankan inklusif, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik