18 anak yatim diselamatkan, pusat jagaan swasta di Cheras disiasat

Laporan Sinar Harian berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di sebuah pusat jagaan swasta di Cheras. Anfaal (kanan).

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyelamatkan 18 anak yatim yang dipercayai dianiaya di sebuah pusat jagaan swasta di Cheras pada petang Khamis.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari memaklumkan, pengusaha pusat jagaan berkenaan akan disiasat.

“JKM dan polis telah mengambil tindakan hari ini terhadap pengusaha pusat jagaan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

“Seramai 18 kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun telah diselamatkan, terdiri daripada 12 lelaki dan 6 perempuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video berdurasi enam minit 30 saat yang memaparkan sekumpulan anak yatim dipercayai dikurung di pusat jagaan tersebut.

Video yang dimuat naik oleh akaun Instagram Malaysia Fight League itu mendakwa kanak-kanak tersebut dikurung seperti haiwan di tingkat atas pusat jagaan berkenaan.

Selain itu, ia turut mendakwa kanak-kanak terbabit tidak dibenarkan menerima hadiah atau makanan, dan barangan sumbangan yang dihantar tidak sampai kepada mereka.

Baca artikel asal 18 anak yatim diselamatkan, pusat jagaan swasta di Cheras disiasat, diterbitkan oleh Sinar Harian

Artikel Berkaitan


Artikel Menarik