Orangnya cantik, bijak dan berbakat besar dalam bidang sukan. Tidak hairanlah sejak mengumumkan persaraan sebagai atlet boling pada September tahun lepas, rezeki Syaidatul Afifah Badrul Hamidi semakin mencurah-curah. Bersandarkan rupa paras dan bakat yang dimiliki, bekas ratu tenpin negara ini mampu ‘melangkah’ lebih jauh.
Ketika dihubungi Nona baru-baru ini, Syaidatul Afifah atau mesra disapa Fifah tidak menyangka keputusan untuk bersara awal ketika namanya berada di puncak membuka pintu rezeki lebih luas buat anak kelahiran Perak ini. Dia bukan hanya terima tawaran sebagai pengacara televisyen bahkan turut dilamar menjadi pelakon.